Tuesday, February 7, 2006

Tiada Lagi Mimpi


Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sugguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.

Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.

Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?

Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...

BADAI DI HATI


Sinopsis Badai Di Hati

Natilly... seindah nama yang bisa melenakan lelaki. Namun, perjalanan hidupnya tidak seindah yang diimpikan. Jiwanya teruji dengan pelbagai dugaan. Walau sakit, walau perit, namun hidup mesti diteruskan selagi belum tiba detik azali. Dia nekad, dia mesti bangun menongkah badai kehidupan. Dia tidak mahu menjadi insan lemah yang mudah menyerah kalah.

Nasrul, lelaki yang cukup segalanya. Pengasih dan penyayang. Tetapi lelaki itu karam dalam mengejar kemewahan. Walau tujuannya ingin membahagiakan Natilly, namun sayang... jalan yang dipilih tidak menghalalkan niat. Sebagai lelaki, dia terhebat. Tetapi sebagai insan, dia menjadi manusia sesat.

Dan kerana lelaki inilah, Natilly nekad. Tidak rela dia membiarkan dirinya diperkotak-katikkan lagi. Tidak tegar dia memaut hidup dengan hanya bergalangkan cinta dan kepercayaan. Dia pernah merana kerana itu. Dia pernah terseksa kerana itu. Tetapi tidak untuk kedua kali. Dia mesti menghapuskan setiap titis air mata duka yang selama ini melemaskan sisa-sisa semangatnya.


Sesungguhnya, segala kenangan pahit itu cukup menguji hatinya. Dia mesti mengubah paragdima hidup dengan berpaksikan pengalaman pahit semalam. Dan dia ingin membuktikan... selembut jiwa wanitanya juga mampu teguh kembali meskipun pernah derita dihempas gelombang dunia.


Wednesday, February 1, 2006

CINTAMU DIHATI


Sinopsis : CINTAMU DI HATI
Kata orang... kita boleh jatuh cinta dalam sekelip mata tapi untuk melupakannya hampir sepanjang hayat. Sememangnya, cinta pertama terlalu sukar dilupakan. Meskipun tidak berakhir dengan satu ikatan suci, namun kenangan itu tetap utuh di hati, terpahat teguh di sanubari.

Seri terperangkap antara dua perasaan; cinta suci seorang lelaki dan cinta sejati kekasih lama. Keteguhan hatinya terduga apabila Zulfy semakin dekat padanya. Setiap waktu bersama Zulfy meletakkannya dalam kemelut perasaan. Kenangan cinta pertama mereka kembali memburu hingga mengundang cemburu Azlan. Dalam melawan arus asmara terlarang, kesetiaan Seri terus-terusan diragui.

Takdir ALLAH tiada siapa dapat menghalang, ujian datang tiada siapa dapat menduga. Seri terus tabah menghadapi segala rintangan dalam mencari bahagia yang hilang. Jalan yang dilalui tetap berliku. Bahagia yang dicari ibarat fatamorgana. Ada waktunya dia hampir mengaku kalah dengan takdir. Ada saatnya dia hampir tersungkur dalam mencari sejalur sinar.

Hari berlalu... dan dalam pencarian itu, hatinya sering berkata, milik siapakah cinta ini? Masih adakah cinta kedua buatnya