Thursday, December 15, 2005

HADIRNYA CINTA


HADIRNYA CINTA
JAM menunjukkan pukul 9.00 pagi sebaik sahaja Yasmin Nadilla tersedar. Ada mesej yang ditinggalkan oleh Camelia di dinding. Mesej itu dibaca sekali lagi. Camelia ke Singapura mengikut Datuk Kay makan angin di sana.

Yasmin Nadilla bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Dia hendak pulang ke kampung hari ini. Setelah siap berkemas, dia melangkah ke kereta menghidupkan enjin kereta Kelisanya. Namun tidak mahu hidup.
Dari jauh Yasmin Nadilla nampak Daniel Ezairy sedang menunggu di hujung jalan. Aik, apa hal pulak dia ke sini? Namun Yasmin Nadilla tidak menghiraukannya. Dia pelik melihat enjin kereta yang tidak mahu hidup.
Tiba-tiba dia ditegur dari belakang. Hai, mamat ni cepat betul dia sampai ke sini, rungut hatinya.

“Dilla, saya datang ni nak jemput awak makan tengah hari di rumah, boleh?” pelawa Daniel Ezairy.
Yasmin Nadilla pura-pura tidak dengar. Dia sibuk dengan enjin keretanya yang tidak mahu hidup. Pelawaan Daniel Ezairy tidak dihiraukan.
“Dilla!” panggil Daniel Ezairy.
“Saya nak balik kampung pagi ni,” jawab Yasmin Nadilla sambil cuba menghidupkan enjin kereta sekali lagi.
“Kalau begitu saya hantar awak balik kampung, boleh?”
“Eeiii... mana boleh,” ujar Yasmin Nadilla sambil melangkah keluar dari kereta.

Hasrat Yasmin Nadilla untuk pulang ke kampung tidak kesampaian. Keretanya tidak boleh hidup. Tidak dapatlah hendak berjumpa dengan Abang Zakuan hari ini, bisik hati kecilnya.
“Marilah ikut saya. Kalau awak tak datang, nanti apa pula kata mama saya. Awak tak mahu jumpa dengan mama saya?” umpan Daniel Ezairy separuh merayu.
“Awak ada berapa orang mama?” Muncul pertanyaan itu dari mulut Yasmin Nadilla. Kalau tidak silap, dia sudah berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa Daniel Ezairy.

“Hah, kalau nak tahu ikut sayalah,” ajak Daniel Ezairy.
Yasmin Nadilla rasa serba salah. Bukan kerana hatinya sudah cair tetapi dia kasihan melihat Daniel Ezairy yang sungguh-sungguh mengajaknya. Akhirnya dia bersetuju dengan pelawaan Daniel Ezairy.
Mereka ke sana menaiki Pajero milik Daniel Ezairy. Di dalam kereta, baharulah Daniel Ezairy bercerita tentang dirinya. Sejak kecil, dia dipelihara oleh Puan Norlia, iaitu adik Puan Sri Zahida. Puan Norlia tidak mempunyai anak, hanya Daniel Ezairy sahajalah tempat mencurah kasih sayang. Dialah madu dan dialah racun. Suami pertama Puan Norlia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kini baru dua tahun, Puan Norlia bersuami baru.
Walaupun mempunyai lima orang anak tiri tetapi kasihnya tetap pada Daniel Ezairy yang dipeliharanya sejak merah lagi. Kasihnya tidak berbelah bagi. Masuk belasan tahun, Daniel Ezairy mengikut ayah saudaranya tinggal di negara barat. Lama menghabiskan masa di sana. Baru tiga tahun ini dia pulang menetap di Malaysia.

“Mama dan papa terlalu sibuk sebab itulah saya diserahkan kepada Puan Norlia. Awak tahu, dulu saya tak suka datang ke sini. Ibu kuat mengongkong malah semua kesukaan saya, ibu tak setuju termasuklah gadis pilihan saya,” cerita Daniel Ezairy panjang lebar.
Satu jam perjalanan barulah mereka sampai di rumah teres milik Puan Norlia. Sebaik sahaja memberhentikan kereta, Daniel Ezairy cepat-cepat keluar dan membuka pintu untuk Yasmin Nadilla.
“Hah, ini baru kena. Orang kalau nak cari perempuan untuk jadikan isteri, beginilah orangnya,” ucap Puan Norlia yang datang menyambut mereka.
Daniel Ezairy tersenyum bangga. Suka pula Puan Norlia dengan Yasmin Nadilla. Pakaian Yasmin Nadilla sudah cukup mencerminkan orangnya. Siapa tidak berkenan. Sopan dan ayu. Puan Norlia memeluk Yasmin Nadilla erat. Begitu mesra, seakan-akan pernah berjumpa sebelum ini.
“Mari Dilla, masuk ke dalam,” pelawa Puan Norlia.
Aik, dah tahu nama aku. Ini kerja Daniel Ezairylah! Penipu besar! Hatinya merintih.

“Sebelum ini mama tak berkenan pun? Cantik-cantik yang Daniel bawa,” usik Daniel Ezairy.
“Tak sesuai untuk dijadikan isteri,” tolak Puan Norlia.
Mudahnya menjadi lelaki, boleh membuat pelbagai pilihan. Cuba kalau perempuan, bawa balik ramai lelaki ke rumah, alamatnya dituduh perempuan tidak bermaruahlah.
Kalau aku bawa balik Daniel Ezairy ke rumah, abah mesti tidak suka. Dikatakan yang aku ni perigi mencari timba lagaknya. Yasmin Nadilla membuat andaian.
“Kenapa tinggal berasingan? Yang penting ikatan kalian dah sah. Dalam perkahwinan, akad nikah aje yang wajib bukan kenduri-kendara,” bebel Puan Norlia.
“Takut hilang serilah, mama. Nanti bila bersanding nampak tak cantik pulak,” jawab Daniel Ezairy memberi alasan.
Wah! Pandainya dia bercakap. Mahu sahaja ditumbuk muka Daniel Ezairy. Menyampah betul!

***********************

Jalan cerita agak menarik..

Sunday, December 4, 2005

TAK SEINDAH IMPIAN

Nurul Atikah dikurniakan kecantikan, kebijaksanaan, kasih sayang, keluarga dan rakan-rakan serta masyarakat sekitarnya. Namun, segala kurniaan-Nya itu punah kerana cinta. Nurul Atikah terleka dengan cinta Ismail sehingga dia lupa kepada keluarga dan pelajarannya. Akhirnya, dia diperkosa oleh kekasihnya itu sehingga dia mengandung. Keengganannya menerima Ismail sebagai suami menyebabkan Ismail melacurkannya dan menderanya secara seksual. Nasib menyebelahinya apabila dia diselamatkan oleh sahabat baik Ismail. Dia menukarkan namanya kepada Siti Norlida agar tidak dapat dikesan oleh Ismail. Dia bekerja sebagai GRO untuk membesarkan anaknya, Nurul Huda. Pertemuannya dengan Rohaimi telah memberi sinar baru dalam hidupnya. Rohaimi mengambilnya sebagai isteri walaupun mengetahui kisah silamnya. Namun, kebahagiaan hanya sementara. Dia difitnah oleh ibu mertuanya sendiri dan Rohami menceraikannya. Dia pulang ke kampung dan secara kebetulan bertemu dengan Micky, kenalannya sejak zaman remajanya. Micky melamarnya dan dia menerimanya. Rohaimi muncul semula dan menagih cintanya. Dia keliru antara cinta Rohaimi dan kasih Micky. Sanggupkah dia menggadai kasih suaminya demi meraih cinta kekasih hatinya? Pasrahkah dia mengharungi pelbagai liku dan dugaan hidup mendatang yang perit?


*****************************

Sedih citer nie... ini antara koleksi terawal aku.. rasanya dalam tahun 2005 aku beli..