Thursday, September 7, 2006

MASIH ADA RINDU


MASIH ADA RINDU

ABANG betul-betul tak sangka, Ika dah nak kahwin.” Imran cuba berlagak tenang walaupun hatinya bergetar hebat.
Kalau selama ini dia begitu mesra dengan Syafika namun kali ini dia dapat merasai kelainannya. Tiba-tiba sahaja dia berasa kekok. Terus terang, dia begitu terkejut dengan berita itu. Siapakah jejaka bertuah yang telah berjaya menambat hati Syafika? Mengapa selama ini dia tidak pernah tahu hubungan mereka?

“Nak buat macam mana, mungkin jodoh Ika dah sampai,” ucap Syafika perlahan. Wajah Imran yang pernah dipuja dipandang sebentar.
“Lepas ni, tentu semuanya akan jadi lain kan, Ika? Tentu abang tak boleh jumpa Ika sesuka hati abang lagi macam sekarang ni. Yalah, Ika kan dah nak jadi isteri orang.” Nada suara Imran bertukar sayu. Renungan matanya menggambarkan hatinya yang lara.
“Abang jangan bimbang, Ika tetap macam dulu.”
“Ika memanglah... tapi suami Ika... takkan dia nak benarkan Ika jumpa abang.”

“Ika tak rasa dia macam tu. Tentu dia faham. Abang Im kan sepupu Ika sendiri? Takkan dia nak marah kot.”
Syafika yakin Hakim bukan begitu. Baginya Hakim seorang yang berfikiran terbuka dan begitu memahami. Kalau betul apa yang dikata Imran, sudah tentu Hakim marah bila tahu Syafika sedang bersama Imran. Tapi Hakim yang kebetulan menelefonnya tadi, hanya bersikap seperti biasa.
“Macam mana abang tau Ika nak kahwin? Nora beritahu ke?”
“Yalah... Nora yang beritahu abang. Tapi kenapa cepat sangat nak kahwin? Takkan tak sempat tunggu sampai Ika habis belajar?”

Imran benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan Syafika yang begitu terburu-buru. Syafika sepatutnya menghabiskan studinya dahulu. Bertahun-tahun dia memendam rasa terhadap Syafika pun adalah disebabkan alasan itu. Dia tahu prinsip Mak Uda Zaleha. Dia tidak mahu Mak Uda Zaleha hilang kepercayaan terhadapnya. Oleh itu, dia sabarkan hati.
Tetapi, penantiannya hanya sia-sia. Dia ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Tanpa disedari, gadis yang sekian lama dipuja telah menjalin kasih dengan orang lain.
“Ika cintakan dia?”

Syafika mengangguk. “Ika terlalu cintakan dia. Ika tak boleh bayangkan hidup tanpa dia.” Bersahaja dia melafazkan kata-kata itu tanpa menyedari apa yang sedang bersarang di hati Imran.
Imran mengeluh. Tapi hanya di dalam hati. Mendengar pengakuan Syafika, dia begitu terluka.

“Boleh abang tahu, siapa lelaki bertuah yang berjaya merebut hati Ika?” Imran bertanya dalam nada riang. Cuba menceriakan suasana yang agak suram dari tadi. Selalunya mereka tidak pernah begini. Pertemuan mereka sering diiringi dengan gelak tawa dan gurau senda.
“Nama dia Luqman Hakim bang,” jawab Syafika malu-malu. Selama ini dia sengaja menyembunyikan daripada Imran. Baginya, masih terlalu awal untuk dihebahkan. Bimbang apa yang diimpikan bersama Hakim tidak kesampaian.
“Tentu dia istimewa, kan?” soal Imran lagi. Cemburu kian bermaharajalela di jiwanya. Dia cuba membayangkan wajah lelaki yang telah berjaya memiliki hati Syafika.
“Biasa aje...”
“Dia orang mana?”
“Orang KL. Keluarganya tinggal di Taman Tun.”
“Ika dah pernah jumpa keluarga dia?”
“Pernah. Ibu bapa dia pun terima Ika dengan baik.”
Syafika tersenyum apabila membayangkan Hajah Noraini dan Haji Baharin. Hajah Noraini yang baik dan lemah lembut. Begitu juga Haji Baharin. Dia yakin, Hakim banyak mewarisi sifat kedua-dua ibu bapanya. Seketika, dia terbayangkan emaknya. Alangkah jauh berbeza sikap Zaleha dan Hajah Noraini. Macam langit dengan bumi. Kalaulah emak seperti Hajah Noraini, alangkah bahagianya. Tentu tidak timbul masalah yang sedang dihadapi sekarang.

“Mana Ika jumpa dia?”
“Dulu dia senior Ika. Tapi sekarang dah kerja...”
“Kerja kat mana?”
“Dengan company ayah dia.”
“Handsome sangat ke?” Kali ini Imran ketawa.
“Bagi Ika, dia handsomelah... tapi tak taulah pulak pada pandangan mata orang lain. Mungkin tak sehandsome abang, kot!” Syafika juga ketawa.
“Handsome ke abang ni, Ika?”
“Alah... kura-kura dalam perahu pulak!”
“Tapi handsome pun buat apa, Ika bukan suka kat abang pun. Ika tetap cari orang lain juga.” Imran pura-pura ketawa lagi. Sebenarnya apa yang terlafaz di bibir lahir dari hatinya. Tapi sayang, Syafika langsung tidak mengerti. Sangkanya Imran sekadar bergurau.
“Ika takutlah nak jadi makwe abang. Abang tu... handsome sangat. Nanti ramai pulak peminat abang. Ika jugak yang makan hati.”
“Yalah tu...” Imran ketawa. “Ika, maafkan abang ya, banyak sangat bertanya. Entah-entah Ika tak suka...”
“Tak apa, Ika tak kisah. Tak salah, kan seorang abang mengambil berat tentang adiknya.”
Ya... kau hanya boleh dianggap adik, Ika. Rintih Imran di dalam hati.

PETANG Sabtu itu juga Imran balik ke Kuala Lumpur. Sepanjang dua tahun bekerja, baru kali ini sahaja dia menghabiskan cuti hujung minggunya dengan begitu singkat. Kebiasaannya, habis sahaja bekerja pada petang Jumaat, dia akan terus pulang ke Kuala Kubu Baru. Pagi-pagi Isnin, barulah dia bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke tempat kerjanya di Bangunan KLCC. Malah, dua hari itu pun dirasakan tidak mencukupi.
Namun, tidak kali ini. Dengan apa yang telah terjadi, dia tidak betah lagi tinggal di kampung. Dia begitu terluka apabila mengetahui Syafika bakal menjadi isteri orang.

Siapa Hakim itu? Istimewa sangat ke sampai Syafika sanggup menghampakannya. Apa lebihnya Hakim? Apa kurangnya dia? Tapi dia tidak boleh salahkan Syafika.
Syafika tidak pernah tahu isi hatinya. Dia sedar, sikap berahsianya selama ini telah memakan dirinya sendiri. Kalaulah dari dulu dia berani meluahkan isi hati, tentu kini Syafika miliknya.
Hujan lebat membasahi bumi sepanjang perjalanan kira-kira sejam dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur. Suasana juga gelap dan mendung. Semendung hati Imran.

Pagi tadi dia pulang dengan hati yang girang. Lebih-lebih lagi apabila Syafika ada bersama. Itulah saat yang sering dinanti-nantikan. Meskipun Nora ada bersama tapi dia tidak kisah. Yang penting dia dapat menatap wajah ayu Syafika dan mendengar suara Syafika yang manja.

Namun, berita yang disampaikan Nora terasa menghancurlumatkan hatinya. Ternyata, hanya dia yang memendam rasa. Dia bertepuk sebelah tangan. Penantiannya selama ini sia-sia sahaja. Hati Syafika sudah dimiliki.
Ika... walaupun Ika telah mengecewakan abang, memusnahkan harapan abang tapi abang tidak akan memusuhi Ika. Abang akan tetap doakan Ika. Itu janji abang!

KASIH ANTARA KITA

Emelda sama sekali tidak menduga begini lipatan takdir yang dijanjikan untuknya. Namun dia tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin... Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.

Lantaran itu, dia rela bila melihat derita yang ditanggung oleh si kakak. Jika inilah yang dinamakan pengorbanan, dia tahu dia telah melakukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Masa depan dan harga diri! Namun, apa pilihan yang dia ada?

“Tapi... dalam hidup ini tidak semua yang kita ingini akan kita dapat malah kadangkala kita terpaksa berkorban hati dan perasaan. Apa lagi bila melibatkan perasaan orang lain.”

Akur dengan kata-kata itulah, Emelda akhirnya rela memperjudikan nasib bersama Aril Fatah. Meskipun saat memandang wajah itu tidak ubah seperti melihat kertas putih. Tapi demi Atiea dan Dania, dia tetap mencuba sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, bila kebenaran terbongkar, dia yang akan karam sendiri!

“Benarkah perkahwinan tanpa cinta itu teguhnya seperti sebuah istana pasir? Diusik ombak, pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya.”

Lantas hati kecil Emelda bertanya, “Inikah balasan atas pengorbanan yang kulakukan selama bertahun-tahun ini?”

Sedangkan dalam waktu yang sama, Aril Fatah leka memikirkan kata-kata tulus Hakimi yang lebih kepada cabaran. “Kalau benar sayang, berusahalah untuk mendapatkan cintanya!