Saturday, December 9, 2006

Oppsss....

Mata tak mengantuk lagi rupanya.. baik aku sambung kemas2 rumah nie.. oh ya.. sebelum nie aku dok lepak kat blog Yahoo 360 tu tapi dah jemu lak rasanya... teringin pulak nak pindah tempat baru. Dulu aku dah pernah create kat sini tapi dah lupe apa link dia, terpaksa la aku bukak baru.. emm.. tak kisah ler... hat lama tu pun aku tak penah up date pun... Sayang jugak rasanya nak tinggal rumah tu.. banyak puisi2 yg menarik kat dalam tu.. tengok la nenanti kalu aku free aku sumbat ke sini..

Holla...


saja je nak testing...
sebenarnya tension ari nie... petang tadi tengah sibuk buat tender tetiba black-out.. ya bedabedu.. terus cabut la apa tunggu lagi.. lagi pun lagi 15min dah nak pukul 5. Lepas balik gi ronda2 kat Jaya Jusco gan anak buah aku. Not bad.. banyak jugak aku shopping... balik dah dekat pukul 8. hehhee tadi sempat gak aku beli novel kat popular 5 buah.. dah lama tak beli sebenarnya.. kali terakhir aku beli masa kat ipoh ari tu rasanya.. tu pun tak abis lagi aku baca. yang adik aku punya pun ada lagi 3 buah novel.. hahaha tamaknya aku.. bukan apa sebenarnya aku suka kumpul novel.. bila balik kg aku kasi anak buah gan adik aku pinjam.. kalu derang ada buku best aku pinjam derang punya lak... hahahaha...

Opss sakit lak pinggang aku nie... baru lepas siap buat tender... hampeh betui la.. bos aku nie memang tau.. suke wat last minit.. yang jadi mangsa aku ler.. siot je.. tapi takpe dah kerja aku apa leh wat... kalu tak kerna due date selasa nie tak kose aku nak bawak balik wat kat rumah baik aku ZZZzzzzzzzz lagi bagus...

Friday, December 8, 2006

Kalau Ada Cinta...



Kalau ada cinta…

Mengapa harus kau membenci

Sedang aku ingin memberi

Sebuah kasih suci

Untukmu permata hati

Kalau ada cinta…

Mengapa harus kau ragui

Sedangkan aku merindui nian saban hari

Belaian asmara sejati

Dari seorang manusia bergelar kekasih

Kalau ada cinta..

Jangan kau jauhi

Sedangkan aku ingin mendekati

Menawan seluruh sanubari

Saat hatiku kau bawa lari

Kalau ada cinta…

Ingin aku berkongsi

Biar senada getar hati

Biar seiring citra jiwa dalam diri

Kerana dirimu kini kucintai…

Friday, December 1, 2006

Alahai....Wakakaka

Rindunya rasa hampir 2 bulan tak muncul dialam siber nie... bukan apa nak kata sibuk tu sibuk la jugak.. nak kata tak sibuk pun tak jugak.. tapi terpakse la buat2 sibuk sikit tak boleh nak curik tulang, almaklum ler ada masalah teknikal yg disengajakan... tapi takpe semua tu bersifat sementara je...

Emm... rindu pulok rasenya nak mencoret cerita tak seberapa menarik nih.. tapi mungkin ada beberapa kejutan yg telah aku jangkakan berlaku... wakakaka... hebat sungguh permainan dipentas siber nie hingga membuatkan ramai insan2 yg bengong tertipu dengan pelakon yg ganteng lagi hebat nieh... bukan nak mencela tapi ini le hakikat hidup zaman sekarang... tapi tak baikkan mengata org. Sebenarnya aku sendiri tak tau kenapa manusia nie begini... suka mengambil kesempatan diatas kelemahan org lain... tapi yelah kan takleh nak menyalahkan pemangsa tu jugak.. yang bodoh sebenarnya mangsa tu sendiri!!!!!! kui..kui..kui.. tu la bila tengah hangat berasmara nieh, buruk kata org, cantik kata dia.. abih apo nak kato.. tanggung sendiri la dek non...

Ok.. ok.. apa la aku membebel nieh.. sebenarnya selepas hampir 2 bulan aku tak muncul nie (gi betapa kat gua lang) tiba tiba tergerak hati aku nak menjelma setelah ketenangan dikecapi. Biasa la bila ON je ym ade je cerita2 terkini yg kira agak menarik gak ku dengar.. Tapi tah le nak kata kesian tu pun ada jugak, nak kata geram tu pun ada jugak... tapi yang terkilannya hal nie berlaku pada org yg aku kenali jugak.. nak kata rapat tu rapat le jugak... tapi aku jenis kawan gan sesapa sapa.. tak kisah le kat belakang aku dia nak buruk kan aku pun.. gua tak kisah beb...

Lahai kenapa la benda nie berlaku.. tapi kan kata org sepandai2 tupai melompat akhirnya jatuh ketanah jua... camtu la kisahnya sorang Hamba Allah nie... aku tak tau la berapa ramai jadi mangsa dia.. kesian sungguh mereka... tapi kenapa la bodohnya org yg kena tipu tu.. aku bukan nak mengutuk, sebenarnya aku bersyukur sebab semuanya belum terlambat lagi, mungkin nasib menyebelahi dia. Entah la kan kalu dah kawin camner ek... nasib ko la labu..

Emm... pada hari aku dapat cerita nie, aku juga sempat berchatting dgn si gadis malang nie.. tu pun sebab dia sudi buzz aku.. mula2 bila aku dgr agak terkejut jugak tapi bila aku dgr semuanya dah berakhir.. syukur rasanya. Terus terang aku katakan walaupun si lelaki tu aku kenal tapi aku tak suka campur hal peribadi dia, selama nie pun aku lebih suka menganggap dia seperti abg aku sendiri... ala tapi kan dlm tu pun dia kenakan aku gak.. tapi aiman tak kisah pun.. biar dia buat kat aku.. masanya akan tiba jugak.. Sebenarnya dah lama aku tau pasal status dia tu, hahahaha cuma aku tak koser nk tanya dia sendiri wat membazir air liur basi aku je, mesti dia tak mengaku punya... so aku wat bodoh jelah... huh psiko dia memang hebat kalah Rosyam Noor dalam drama dia...

Adehh ngantuk ler plak.. ish.. lantak ler malas nak cerita lagi.. biar la dia dgn dunia nie.. mudah2an Allah beri dia petunjuk.. Mudah2an terbuka pintu taubat untuk dia... Mudah2an dia belajar menyayangi isteri dia.. Ingat la atas dunia nie mungkin kita boleh terlepas tapi akhirat nanti kita takkan terlepas.

Sape makan cili dia terasa pedas...

Saturday, November 11, 2006

RINDU DI KALBU


Sinopsis : RINDU DI KALBU

Antara Ain Syauqina dan Ammar Wajdi, memang wujud keserasiannya. Sejak peristiwa terperangkap dalam lif, mereka sering mencipta pertemuan demi pertemuan. Kadangkala mereka akan menghabiskan cuti hujung minggu dengan membaca di taman bunga. Tapi, itu dulu. Sewaktu baru merasai manisnya saat bercinta. Kini, sejak kehadiran lelaki itu semula, batinnya sentiasa berkocak. Ketenteraman jiwanya pula seperti diragut. Dia keliru antara kasih Azad dan memori cinta Ammar. Mustahil dia melukakan Azad Hamdi, insan yang sudi memberi kehidupan pada jiwanya. Tanpa Azad, mungkin sukar baginya untuk melupakan kisah malam itu. Tapi patutkah aku menyalahkan dirinya saja? Atau, aku juga ada sahamnya? Walaupun dunianya sudah dikelilingi bunga-bunga cinta, sesekali rindu pada Ammar menjengah juga. Namun, jauh di sudut hati... Ain tahu dan sedar, bara itu masih menyala. Walaupun hampir reda tapi api cinta itu tidak pernah padam sepenuhnya. Mungkinkah kalau ditiup, akan bersemarak semula? Dia benar-benar buntu! Tidak sanggup rasanya meniti bahagia atas kelukaan orang lain. Dan... bagaimana aku harus mengharungi hidup sebumbung dengan lelaki itu, sedangkan dia bukan milikku? Semuanya terserah pada takdir. Kita hanya berhak merancang tapi hanya DIA penentu segalanya.

Sunday, November 5, 2006

Duri

Kerapuhan ikatan kekeluargaan serta sikap egoistik membantutkan cinta dan kecintaan.

DURI menyajikan konflik pada hati yang membawa duka dan dendam. Sufi sanggup melakukan apa sahaja demi melunaskan dendamnya dan melihat insan itu tersungkur.

Dia ditinggal kekasih, kehilangan sahabat, bertemu jodoh dengan lelaki yang menyintai adik kandungnya dan berhadapan pula ibu mentua yang egoistik.

Di hatinya tiada simpati dan tidak pernah berasa gentar. Berhadapan dengan ibu mentua bagaikan pertemuan buku dengan ruas sahaja. Hidupnya penuh kepura-puraan. Apabila peluang terhidang dan ruang terbuka, terlunaskah dendam yang membara?

Mampukah elemen cinta Zhaf membendung sifat dendamnya? Mampukah cinta wujud di hati sufi yang penuh duka dan dendam?

Novel nie memang best.. komplik keluarga yang penuh dendam..

Friday, October 20, 2006

PASRAH KASIH


Sinopsis : PASRAH KASIH
Andai benar wanita itu penyeri hidup, mengapa mesti ada luka di hati mereka? Mengapa harus ada sengsara dalam nafas mereka? Penghijrahan Zuliyanti ke Malaysia demi untuk mengubah nasib keluarga. Pun dia tidak pernah menjangka akan terjerumus dalam kemelut yang menuntut pengorbanan besar dirinya. Tanpa diduga, dia terleka dengan permainan duniawi yang tidak menjanjikan apa-apa. Layanan menggoda Saiful membuahkan sayang di hati dan tanpa sedar telah menghanyutkannya dari dunia realiti. Saiful pula kian terjebak dalam permainan yang diciptanya sendiri. Demi sayangnya pada Karmila; isteri yang setia, kerana kasihnya pada Zuliyanti; kekasih yang manja memaksa dia mengatur permainan demi permainan agar tidak ketara cela lakonannya. Pengorbanan Zuliyanti menghidupkan lagi sandiwara Saiful. Niatnya hanya satu, untuk menghalalkan yang haram dan tidak terus terjerumus dalam dunia kemaksiatan. Namun... segala yang manis hanya datang seketika. Hari demi hari perubahan Saiful mendesak Karmila melayani rasa sangsi yang sesekali mencengkam diri.
Salahkah Karmila andai curiga menguasai fikiran tika bahagia yang dicari dan didamba selama ini kian menghilang? Tergugatkah kedudukannya dengan kehadiran gadis manis menggoda ini? Dan tegakah Zuliyanti memusnahkan kebahagiaan insan lain semata-semata untuk kepuasan diri sendiri?Yang pasti, tiada siapa yang mahu kecundang, tiada hati yang mahu terluka dalam dunia ciptaan Saiful ini...

***************************************

Koleksi ku tapi lum baca lagi rasanya...

Sunday, October 15, 2006

ADAM & HAWA


AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...

Thursday, September 7, 2006

MASIH ADA RINDU


MASIH ADA RINDU

ABANG betul-betul tak sangka, Ika dah nak kahwin.” Imran cuba berlagak tenang walaupun hatinya bergetar hebat.
Kalau selama ini dia begitu mesra dengan Syafika namun kali ini dia dapat merasai kelainannya. Tiba-tiba sahaja dia berasa kekok. Terus terang, dia begitu terkejut dengan berita itu. Siapakah jejaka bertuah yang telah berjaya menambat hati Syafika? Mengapa selama ini dia tidak pernah tahu hubungan mereka?

“Nak buat macam mana, mungkin jodoh Ika dah sampai,” ucap Syafika perlahan. Wajah Imran yang pernah dipuja dipandang sebentar.
“Lepas ni, tentu semuanya akan jadi lain kan, Ika? Tentu abang tak boleh jumpa Ika sesuka hati abang lagi macam sekarang ni. Yalah, Ika kan dah nak jadi isteri orang.” Nada suara Imran bertukar sayu. Renungan matanya menggambarkan hatinya yang lara.
“Abang jangan bimbang, Ika tetap macam dulu.”
“Ika memanglah... tapi suami Ika... takkan dia nak benarkan Ika jumpa abang.”

“Ika tak rasa dia macam tu. Tentu dia faham. Abang Im kan sepupu Ika sendiri? Takkan dia nak marah kot.”
Syafika yakin Hakim bukan begitu. Baginya Hakim seorang yang berfikiran terbuka dan begitu memahami. Kalau betul apa yang dikata Imran, sudah tentu Hakim marah bila tahu Syafika sedang bersama Imran. Tapi Hakim yang kebetulan menelefonnya tadi, hanya bersikap seperti biasa.
“Macam mana abang tau Ika nak kahwin? Nora beritahu ke?”
“Yalah... Nora yang beritahu abang. Tapi kenapa cepat sangat nak kahwin? Takkan tak sempat tunggu sampai Ika habis belajar?”

Imran benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan Syafika yang begitu terburu-buru. Syafika sepatutnya menghabiskan studinya dahulu. Bertahun-tahun dia memendam rasa terhadap Syafika pun adalah disebabkan alasan itu. Dia tahu prinsip Mak Uda Zaleha. Dia tidak mahu Mak Uda Zaleha hilang kepercayaan terhadapnya. Oleh itu, dia sabarkan hati.
Tetapi, penantiannya hanya sia-sia. Dia ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Tanpa disedari, gadis yang sekian lama dipuja telah menjalin kasih dengan orang lain.
“Ika cintakan dia?”

Syafika mengangguk. “Ika terlalu cintakan dia. Ika tak boleh bayangkan hidup tanpa dia.” Bersahaja dia melafazkan kata-kata itu tanpa menyedari apa yang sedang bersarang di hati Imran.
Imran mengeluh. Tapi hanya di dalam hati. Mendengar pengakuan Syafika, dia begitu terluka.

“Boleh abang tahu, siapa lelaki bertuah yang berjaya merebut hati Ika?” Imran bertanya dalam nada riang. Cuba menceriakan suasana yang agak suram dari tadi. Selalunya mereka tidak pernah begini. Pertemuan mereka sering diiringi dengan gelak tawa dan gurau senda.
“Nama dia Luqman Hakim bang,” jawab Syafika malu-malu. Selama ini dia sengaja menyembunyikan daripada Imran. Baginya, masih terlalu awal untuk dihebahkan. Bimbang apa yang diimpikan bersama Hakim tidak kesampaian.
“Tentu dia istimewa, kan?” soal Imran lagi. Cemburu kian bermaharajalela di jiwanya. Dia cuba membayangkan wajah lelaki yang telah berjaya memiliki hati Syafika.
“Biasa aje...”
“Dia orang mana?”
“Orang KL. Keluarganya tinggal di Taman Tun.”
“Ika dah pernah jumpa keluarga dia?”
“Pernah. Ibu bapa dia pun terima Ika dengan baik.”
Syafika tersenyum apabila membayangkan Hajah Noraini dan Haji Baharin. Hajah Noraini yang baik dan lemah lembut. Begitu juga Haji Baharin. Dia yakin, Hakim banyak mewarisi sifat kedua-dua ibu bapanya. Seketika, dia terbayangkan emaknya. Alangkah jauh berbeza sikap Zaleha dan Hajah Noraini. Macam langit dengan bumi. Kalaulah emak seperti Hajah Noraini, alangkah bahagianya. Tentu tidak timbul masalah yang sedang dihadapi sekarang.

“Mana Ika jumpa dia?”
“Dulu dia senior Ika. Tapi sekarang dah kerja...”
“Kerja kat mana?”
“Dengan company ayah dia.”
“Handsome sangat ke?” Kali ini Imran ketawa.
“Bagi Ika, dia handsomelah... tapi tak taulah pulak pada pandangan mata orang lain. Mungkin tak sehandsome abang, kot!” Syafika juga ketawa.
“Handsome ke abang ni, Ika?”
“Alah... kura-kura dalam perahu pulak!”
“Tapi handsome pun buat apa, Ika bukan suka kat abang pun. Ika tetap cari orang lain juga.” Imran pura-pura ketawa lagi. Sebenarnya apa yang terlafaz di bibir lahir dari hatinya. Tapi sayang, Syafika langsung tidak mengerti. Sangkanya Imran sekadar bergurau.
“Ika takutlah nak jadi makwe abang. Abang tu... handsome sangat. Nanti ramai pulak peminat abang. Ika jugak yang makan hati.”
“Yalah tu...” Imran ketawa. “Ika, maafkan abang ya, banyak sangat bertanya. Entah-entah Ika tak suka...”
“Tak apa, Ika tak kisah. Tak salah, kan seorang abang mengambil berat tentang adiknya.”
Ya... kau hanya boleh dianggap adik, Ika. Rintih Imran di dalam hati.

PETANG Sabtu itu juga Imran balik ke Kuala Lumpur. Sepanjang dua tahun bekerja, baru kali ini sahaja dia menghabiskan cuti hujung minggunya dengan begitu singkat. Kebiasaannya, habis sahaja bekerja pada petang Jumaat, dia akan terus pulang ke Kuala Kubu Baru. Pagi-pagi Isnin, barulah dia bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke tempat kerjanya di Bangunan KLCC. Malah, dua hari itu pun dirasakan tidak mencukupi.
Namun, tidak kali ini. Dengan apa yang telah terjadi, dia tidak betah lagi tinggal di kampung. Dia begitu terluka apabila mengetahui Syafika bakal menjadi isteri orang.

Siapa Hakim itu? Istimewa sangat ke sampai Syafika sanggup menghampakannya. Apa lebihnya Hakim? Apa kurangnya dia? Tapi dia tidak boleh salahkan Syafika.
Syafika tidak pernah tahu isi hatinya. Dia sedar, sikap berahsianya selama ini telah memakan dirinya sendiri. Kalaulah dari dulu dia berani meluahkan isi hati, tentu kini Syafika miliknya.
Hujan lebat membasahi bumi sepanjang perjalanan kira-kira sejam dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur. Suasana juga gelap dan mendung. Semendung hati Imran.

Pagi tadi dia pulang dengan hati yang girang. Lebih-lebih lagi apabila Syafika ada bersama. Itulah saat yang sering dinanti-nantikan. Meskipun Nora ada bersama tapi dia tidak kisah. Yang penting dia dapat menatap wajah ayu Syafika dan mendengar suara Syafika yang manja.

Namun, berita yang disampaikan Nora terasa menghancurlumatkan hatinya. Ternyata, hanya dia yang memendam rasa. Dia bertepuk sebelah tangan. Penantiannya selama ini sia-sia sahaja. Hati Syafika sudah dimiliki.
Ika... walaupun Ika telah mengecewakan abang, memusnahkan harapan abang tapi abang tidak akan memusuhi Ika. Abang akan tetap doakan Ika. Itu janji abang!

KASIH ANTARA KITA

Emelda sama sekali tidak menduga begini lipatan takdir yang dijanjikan untuknya. Namun dia tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin... Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.

Lantaran itu, dia rela bila melihat derita yang ditanggung oleh si kakak. Jika inilah yang dinamakan pengorbanan, dia tahu dia telah melakukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Masa depan dan harga diri! Namun, apa pilihan yang dia ada?

“Tapi... dalam hidup ini tidak semua yang kita ingini akan kita dapat malah kadangkala kita terpaksa berkorban hati dan perasaan. Apa lagi bila melibatkan perasaan orang lain.”

Akur dengan kata-kata itulah, Emelda akhirnya rela memperjudikan nasib bersama Aril Fatah. Meskipun saat memandang wajah itu tidak ubah seperti melihat kertas putih. Tapi demi Atiea dan Dania, dia tetap mencuba sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, bila kebenaran terbongkar, dia yang akan karam sendiri!

“Benarkah perkahwinan tanpa cinta itu teguhnya seperti sebuah istana pasir? Diusik ombak, pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya.”

Lantas hati kecil Emelda bertanya, “Inikah balasan atas pengorbanan yang kulakukan selama bertahun-tahun ini?”

Sedangkan dalam waktu yang sama, Aril Fatah leka memikirkan kata-kata tulus Hakimi yang lebih kepada cabaran. “Kalau benar sayang, berusahalah untuk mendapatkan cintanya!

Wednesday, August 30, 2006

INIKAH CINTA


Sinopsis : INIKAH CINTA CINTA menjadikan manusia lebih kuat tetapi cinta juga adakalanya menjadikan manusia sentiasa kehausan, kesakitan dan ingin berlari jauh. Novel ini mengisahkan rentetan cinta pertama yang penuh sejarah. Apabila anda mula mendekati cinta, mula berjinak-jinak dengan cinta, mula merasakan nikmatnya cinta, awasilah langkah kerana ia datang bersama sendu, pilu, rindu, sayang dan adakalanya air mata dan kemurungan.

Dimen dengan pendiriannya yang tipikal, warak serta tuntas terpaksa beralah pada kewujudan kali kedua Derra Mandy. Wanita kelahiran Isle of Wight ini telah mencuri hati Dimen 10 tahun dahulu tetapi kedua-duanya terpisah kerana Derra Mandy meninggal dunia.

Jadi, siapakah yang tinggal di Isle Castle dengan menggunakan nama Derra Mandy dan cuba mencuri rasa cinta Dimen? Bolehkah kedua-duanya bersatu sedangkan pada waktu itu Dimen telah memperisterikan Liza? Dalam masa yang sama Dimen juga diburu bekas kekasihnya bernama Rohanita dan juga seorang wanita yang telah bersuami dan beranak lima, Norlila.

Kisah ini akan membawa anda mengembara jauh hingga ke London dan Amerika Syarikat serta mengenali titik bengik penglibatan orang Melayu dalam industri permotoran. Ia dramatik, romantik dan tragis, berselang-seli antara cinta, bisnes dan pengembaraan. Cinta adalah simbol ledakan emosi manusia untuk dikasihi dan mengasihi.

**********************
Aku kureng minat gan penulis lelaki.. tapi cerita nie best jugak..

Tuesday, August 15, 2006

KAU KEKASIHKU

Dhira yang baru sahaja dilukai oleh seorang lelaki menyatakan bahawa dia tidak mahu bercinta lagi. Namun, hatinya kalah dengan kenyataannya itu apabila terpaut dengan Zairi ketika melancong ke Beijing. Sejak pertemuan yang membibitkan kenangan manis, hubungan Dhira dengan Zairi semakin mesra selepas pulang dari melancong. Namun, Dhira pasrah walaupun Zairi menunjukkan sikap prihatinnya dan cemburu, lelaki itu agak sukar menyatakan cinta kepadanya.

Akhirnya, lafaz cinta keluar dari bibir Zairi dan ingin melamar Dhira menjadi suri dalam hidupnya. Namun, ada sesuatu yang menjadi persoalan dalam diri Dhira, apabila dia tidak pernah disentuh oleh suaminya sendiri selama di alam perkahwinan.

Apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Zairi? Mengapa dia tidak mahu menyentuh Dhira sedangkan tanggungjawab lain ditunaikan? Adakah kerana Dhira yang menjadi puncanya? Akhirnya, Dhira dapat menemui jawapannya yang sering membelenggu dirinya. Antara kasihan dan kasih, perlukah Dhira mengharunginya bersama suami tercinta?


*************************
Koleksi adik aku.. entah aku tak ingat jalan ceritanya sebab aku baca tak habis.. tak menghayati langsung ceritanya...

Tuesday, August 8, 2006

MAHAR ASMARA


Arwani jatuh hati pada Harris Hakimi, jejaka yang dikenalinya menerusi e-mel. Namun dia hanya membiarkan perasaan itu terpendam di lubuk hati kerana takut dikecewakan. Pada masa yang sama dia juga mula berasa sayang terhadap Johan Ariff, jejaka yang dikenalinya semasa mengikuti skim graduan menganggur. Namun hatinya tetap pada Harris Hakimi, cuma Arwani tidak berani meluahkan perasaannya pada Harris Hakimi seperti dia meluahkannya pada Johan Arif. Arwani keliru dengan perasaannya sendiri.

Namun perhubungannya dengan Johan Arif tidak berpanjangan kerana Najwa, sahabatnya yang gemar menjaja hubungan Johan Arif dengan ramai wanita. Tambahan pula Johan Arif sendiri cuba memperkenalkan Arwani kepada penyelianya iaitu Dr. Rezman. Perbuatan Johan Arif telah menimbulkan kemarahan Arwani. Lelaki itu seolah-olah cuba memperdagangkan kasih sayangnya. Haris Hakimi pula semakin menjauhkan diri darinya. Arwani bingung dalam mencari cinta. Kedua jejaka itu terlalu istimewa padanya.

Antara kedua lelaki itu, siapakah pemilik sebenar hatinya.

Saturday, July 15, 2006

GELORA JIWA


Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar menjadi benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi, kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata!

Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan. Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga.

Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?

Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?

Nie pun best.. Happy ending.. penuh dengan tandatanya..

Monday, June 12, 2006

DEMI KASIH INI

Sinopsis : Bijak pandai pernah berkata, cinta boleh bertukar menjadi benci tetapi persahabatan itu akan kekal buat selama-lamanya.Benarkah?

Sekian lama menyemai kasih, keakraban Iriana dan Mukhriz dimeterai dengan ikatan. Andai diibaratkan tinggi bintang di langit, tinggi lagi impian di hati. Sungguh, cinta mereka bukan sandiwara. Tiada apa yang bisa menjadi galang ganti.

Tetapi entah di mana silap, bahtera kasih mula dilanda badai. Satu demi satu rahsia terbongkar. Ribut melanda, taufan bergelora. Tembelang pecah, retak menanti belah. Konfik demi konflik mencabar keimanan. Tambah rumit, lantaran seorang pemarah, seorang perasa.

Saat itu, dunia Iriana bagaikan mahu runtuh, langit menjadi gelap dan bumi bagaikan mahu retak. Sekian lama bersabar, akhirnya dia nekad. Nekad untuk mengembalikan harga dirinya di atas nama sebuah kesetiaan. Mungkin salahnya juga selama ini, terlalu lurus bendul. Terlalu alpa, hinggakan kepercayaannya dikhianati dan akhirnya dia terluka sendiri.

Begitu pun, atas nama kasih... sengketa ini bukan penamat kisah. Sebaliknya, gelora cinta baru saja bermula. Dan di saat inilah terdetik di hati Iriana, pesanan orang tua wajar dipertimbangkan. Sebelum mengangguk sudi menerima lelaki, sematkan di hati bahawa percintaan itu ibarat percaturan, terlalu banyak rintangan yang tidak disangka akan terjadi!


******************************

Sedih novel nie.. kisah komplik rumahtangga.. bagi sesiapa yang pernah mengalaminya pasti menitis air mata kalu membacanya...


Wednesday, May 31, 2006

TAK SEMANIS IMPIAN


NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”

NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”

RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”

Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.

Monday, April 3, 2006

SEPI TANPA CINTA


Sinopsis : SEPI TANPA CINTA
HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

Novel nie aku tak beli... rasanya pinjam gan anak buah aku.. best memang best... jalan citer dia tak bosan.. bleh menangis rasanya.. aku ingat nanti nak beli gak wat koleksi..

Sunday, April 2, 2006

TAK SEINDAH MIMPI


Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.

Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.

Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?

Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.

Thursday, March 30, 2006

BISIKAN RINDU


Sinopsis : BISIKAN RINDU Antara Shahrul dan Ikhwan kedua-duanya sama kacak, sama baik. Tapi jika di hati tiada rasa cinta, salah seorang harus berkorban. Jika mulut berkata sayang sedangkan hati berkata tidak, untuk apa sebuah percintaan?

Sekuat manapun cinta Shahrul kepada Dina, hatinya tetap milik Ikhwan. Kehadiran Ikhwan telah mengajar Dina erti sebuah rindu. Namun percintaan mereka sering diuji dengan salah faham dan kebetulan.

Akhirnya, Dina mengalah. Perginya bukan kerana kalah, tetapi pergi mencari harga diri yang dicampak oleh lelaki yang amat dicintai. Kerana cinta itu Dina sanggup tinggalkan Ikhwan dan segalanya.

Setelah agak lama menyepi, Dina nekad ingin kembali. Sayangnya kepulangan Dina dalam keadaan yang tidak terduga! Tiada kata maaf, tiada pelukan mesra. Yang ada hanya tangisan... Gembira atau duka?

Wednesday, March 15, 2006

SEINDAH MEMORI


Sinopsis : SEINDAH MEMORI Kalau benarlah cinta itu lahir dari hati yang suci dan rela berkorban deminya, mengapa tidak ke jinjang pelamin pengakhirannya? Kalau benarlah cinta itu dari jiwa yang ikhlas, kenapa ada yang ternoda kerananya? Itulah lumrah cinta manusia. Dicintai dan mencintai tidak pernah padam walaupun sering dipersendakan oleh kerenah manusia. Begitulah kehidupan Dayang yang penuh dengan kemelut cinta. Kali pertama dalam hidup, dia menghadapi dugaan cinta yang sungguh mencabar. Nak ditelan seperti pahit, nak dibuang tak sampai hati. Ungkapan Aku cinta padamu mengajarnya erti reda dan pasrah. Dugaan dan ragam takdir sentiasa bergerak seiring dengan lafaz janjinya. Akhirnya, memporak-perandakan seluruh sendi kehidupannya. Cinta dua darjat antara Dayang dan Syed Iqbal menguji penantiannya. Namun kerana satu janji, biar datang ribut taufan sekalipun, cintanya tetap dipertahankan walau Iqbal terbang tinggi di langit dan dia hanya melata tumbuh di bumi. Sesungguhnya pertarungan merebut cinta Iqbal memerlukan ketakwaan dan ketabahan sebagai syarat! Kerenah takdir juga menyaksikan dirinya terlibat dalam cinta tiga penjuru. Cinta yang memusnahkan tiga kasih, tiga perasaan dan tiga hati. Kesemuanya menuntut pengorbanan dan air mata. Seorang harus melupakan dan seorang lagi harus dilupakan untuk memberi ruang pada orang ketiga. Siapa antara mereka yang ketawa gembira dan siapa pula yang akan merintih hiba?