Thursday, September 7, 2006

MASIH ADA RINDU


MASIH ADA RINDU

ABANG betul-betul tak sangka, Ika dah nak kahwin.” Imran cuba berlagak tenang walaupun hatinya bergetar hebat.
Kalau selama ini dia begitu mesra dengan Syafika namun kali ini dia dapat merasai kelainannya. Tiba-tiba sahaja dia berasa kekok. Terus terang, dia begitu terkejut dengan berita itu. Siapakah jejaka bertuah yang telah berjaya menambat hati Syafika? Mengapa selama ini dia tidak pernah tahu hubungan mereka?

“Nak buat macam mana, mungkin jodoh Ika dah sampai,” ucap Syafika perlahan. Wajah Imran yang pernah dipuja dipandang sebentar.
“Lepas ni, tentu semuanya akan jadi lain kan, Ika? Tentu abang tak boleh jumpa Ika sesuka hati abang lagi macam sekarang ni. Yalah, Ika kan dah nak jadi isteri orang.” Nada suara Imran bertukar sayu. Renungan matanya menggambarkan hatinya yang lara.
“Abang jangan bimbang, Ika tetap macam dulu.”
“Ika memanglah... tapi suami Ika... takkan dia nak benarkan Ika jumpa abang.”

“Ika tak rasa dia macam tu. Tentu dia faham. Abang Im kan sepupu Ika sendiri? Takkan dia nak marah kot.”
Syafika yakin Hakim bukan begitu. Baginya Hakim seorang yang berfikiran terbuka dan begitu memahami. Kalau betul apa yang dikata Imran, sudah tentu Hakim marah bila tahu Syafika sedang bersama Imran. Tapi Hakim yang kebetulan menelefonnya tadi, hanya bersikap seperti biasa.
“Macam mana abang tau Ika nak kahwin? Nora beritahu ke?”
“Yalah... Nora yang beritahu abang. Tapi kenapa cepat sangat nak kahwin? Takkan tak sempat tunggu sampai Ika habis belajar?”

Imran benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan Syafika yang begitu terburu-buru. Syafika sepatutnya menghabiskan studinya dahulu. Bertahun-tahun dia memendam rasa terhadap Syafika pun adalah disebabkan alasan itu. Dia tahu prinsip Mak Uda Zaleha. Dia tidak mahu Mak Uda Zaleha hilang kepercayaan terhadapnya. Oleh itu, dia sabarkan hati.
Tetapi, penantiannya hanya sia-sia. Dia ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Tanpa disedari, gadis yang sekian lama dipuja telah menjalin kasih dengan orang lain.
“Ika cintakan dia?”

Syafika mengangguk. “Ika terlalu cintakan dia. Ika tak boleh bayangkan hidup tanpa dia.” Bersahaja dia melafazkan kata-kata itu tanpa menyedari apa yang sedang bersarang di hati Imran.
Imran mengeluh. Tapi hanya di dalam hati. Mendengar pengakuan Syafika, dia begitu terluka.

“Boleh abang tahu, siapa lelaki bertuah yang berjaya merebut hati Ika?” Imran bertanya dalam nada riang. Cuba menceriakan suasana yang agak suram dari tadi. Selalunya mereka tidak pernah begini. Pertemuan mereka sering diiringi dengan gelak tawa dan gurau senda.
“Nama dia Luqman Hakim bang,” jawab Syafika malu-malu. Selama ini dia sengaja menyembunyikan daripada Imran. Baginya, masih terlalu awal untuk dihebahkan. Bimbang apa yang diimpikan bersama Hakim tidak kesampaian.
“Tentu dia istimewa, kan?” soal Imran lagi. Cemburu kian bermaharajalela di jiwanya. Dia cuba membayangkan wajah lelaki yang telah berjaya memiliki hati Syafika.
“Biasa aje...”
“Dia orang mana?”
“Orang KL. Keluarganya tinggal di Taman Tun.”
“Ika dah pernah jumpa keluarga dia?”
“Pernah. Ibu bapa dia pun terima Ika dengan baik.”
Syafika tersenyum apabila membayangkan Hajah Noraini dan Haji Baharin. Hajah Noraini yang baik dan lemah lembut. Begitu juga Haji Baharin. Dia yakin, Hakim banyak mewarisi sifat kedua-dua ibu bapanya. Seketika, dia terbayangkan emaknya. Alangkah jauh berbeza sikap Zaleha dan Hajah Noraini. Macam langit dengan bumi. Kalaulah emak seperti Hajah Noraini, alangkah bahagianya. Tentu tidak timbul masalah yang sedang dihadapi sekarang.

“Mana Ika jumpa dia?”
“Dulu dia senior Ika. Tapi sekarang dah kerja...”
“Kerja kat mana?”
“Dengan company ayah dia.”
“Handsome sangat ke?” Kali ini Imran ketawa.
“Bagi Ika, dia handsomelah... tapi tak taulah pulak pada pandangan mata orang lain. Mungkin tak sehandsome abang, kot!” Syafika juga ketawa.
“Handsome ke abang ni, Ika?”
“Alah... kura-kura dalam perahu pulak!”
“Tapi handsome pun buat apa, Ika bukan suka kat abang pun. Ika tetap cari orang lain juga.” Imran pura-pura ketawa lagi. Sebenarnya apa yang terlafaz di bibir lahir dari hatinya. Tapi sayang, Syafika langsung tidak mengerti. Sangkanya Imran sekadar bergurau.
“Ika takutlah nak jadi makwe abang. Abang tu... handsome sangat. Nanti ramai pulak peminat abang. Ika jugak yang makan hati.”
“Yalah tu...” Imran ketawa. “Ika, maafkan abang ya, banyak sangat bertanya. Entah-entah Ika tak suka...”
“Tak apa, Ika tak kisah. Tak salah, kan seorang abang mengambil berat tentang adiknya.”
Ya... kau hanya boleh dianggap adik, Ika. Rintih Imran di dalam hati.

PETANG Sabtu itu juga Imran balik ke Kuala Lumpur. Sepanjang dua tahun bekerja, baru kali ini sahaja dia menghabiskan cuti hujung minggunya dengan begitu singkat. Kebiasaannya, habis sahaja bekerja pada petang Jumaat, dia akan terus pulang ke Kuala Kubu Baru. Pagi-pagi Isnin, barulah dia bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke tempat kerjanya di Bangunan KLCC. Malah, dua hari itu pun dirasakan tidak mencukupi.
Namun, tidak kali ini. Dengan apa yang telah terjadi, dia tidak betah lagi tinggal di kampung. Dia begitu terluka apabila mengetahui Syafika bakal menjadi isteri orang.

Siapa Hakim itu? Istimewa sangat ke sampai Syafika sanggup menghampakannya. Apa lebihnya Hakim? Apa kurangnya dia? Tapi dia tidak boleh salahkan Syafika.
Syafika tidak pernah tahu isi hatinya. Dia sedar, sikap berahsianya selama ini telah memakan dirinya sendiri. Kalaulah dari dulu dia berani meluahkan isi hati, tentu kini Syafika miliknya.
Hujan lebat membasahi bumi sepanjang perjalanan kira-kira sejam dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur. Suasana juga gelap dan mendung. Semendung hati Imran.

Pagi tadi dia pulang dengan hati yang girang. Lebih-lebih lagi apabila Syafika ada bersama. Itulah saat yang sering dinanti-nantikan. Meskipun Nora ada bersama tapi dia tidak kisah. Yang penting dia dapat menatap wajah ayu Syafika dan mendengar suara Syafika yang manja.

Namun, berita yang disampaikan Nora terasa menghancurlumatkan hatinya. Ternyata, hanya dia yang memendam rasa. Dia bertepuk sebelah tangan. Penantiannya selama ini sia-sia sahaja. Hati Syafika sudah dimiliki.
Ika... walaupun Ika telah mengecewakan abang, memusnahkan harapan abang tapi abang tidak akan memusuhi Ika. Abang akan tetap doakan Ika. Itu janji abang!

KASIH ANTARA KITA

Emelda sama sekali tidak menduga begini lipatan takdir yang dijanjikan untuknya. Namun dia tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin... Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.

Lantaran itu, dia rela bila melihat derita yang ditanggung oleh si kakak. Jika inilah yang dinamakan pengorbanan, dia tahu dia telah melakukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Masa depan dan harga diri! Namun, apa pilihan yang dia ada?

“Tapi... dalam hidup ini tidak semua yang kita ingini akan kita dapat malah kadangkala kita terpaksa berkorban hati dan perasaan. Apa lagi bila melibatkan perasaan orang lain.”

Akur dengan kata-kata itulah, Emelda akhirnya rela memperjudikan nasib bersama Aril Fatah. Meskipun saat memandang wajah itu tidak ubah seperti melihat kertas putih. Tapi demi Atiea dan Dania, dia tetap mencuba sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, bila kebenaran terbongkar, dia yang akan karam sendiri!

“Benarkah perkahwinan tanpa cinta itu teguhnya seperti sebuah istana pasir? Diusik ombak, pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya.”

Lantas hati kecil Emelda bertanya, “Inikah balasan atas pengorbanan yang kulakukan selama bertahun-tahun ini?”

Sedangkan dalam waktu yang sama, Aril Fatah leka memikirkan kata-kata tulus Hakimi yang lebih kepada cabaran. “Kalau benar sayang, berusahalah untuk mendapatkan cintanya!

Wednesday, August 30, 2006

INIKAH CINTA


Sinopsis : INIKAH CINTA CINTA menjadikan manusia lebih kuat tetapi cinta juga adakalanya menjadikan manusia sentiasa kehausan, kesakitan dan ingin berlari jauh. Novel ini mengisahkan rentetan cinta pertama yang penuh sejarah. Apabila anda mula mendekati cinta, mula berjinak-jinak dengan cinta, mula merasakan nikmatnya cinta, awasilah langkah kerana ia datang bersama sendu, pilu, rindu, sayang dan adakalanya air mata dan kemurungan.

Dimen dengan pendiriannya yang tipikal, warak serta tuntas terpaksa beralah pada kewujudan kali kedua Derra Mandy. Wanita kelahiran Isle of Wight ini telah mencuri hati Dimen 10 tahun dahulu tetapi kedua-duanya terpisah kerana Derra Mandy meninggal dunia.

Jadi, siapakah yang tinggal di Isle Castle dengan menggunakan nama Derra Mandy dan cuba mencuri rasa cinta Dimen? Bolehkah kedua-duanya bersatu sedangkan pada waktu itu Dimen telah memperisterikan Liza? Dalam masa yang sama Dimen juga diburu bekas kekasihnya bernama Rohanita dan juga seorang wanita yang telah bersuami dan beranak lima, Norlila.

Kisah ini akan membawa anda mengembara jauh hingga ke London dan Amerika Syarikat serta mengenali titik bengik penglibatan orang Melayu dalam industri permotoran. Ia dramatik, romantik dan tragis, berselang-seli antara cinta, bisnes dan pengembaraan. Cinta adalah simbol ledakan emosi manusia untuk dikasihi dan mengasihi.

**********************
Aku kureng minat gan penulis lelaki.. tapi cerita nie best jugak..

Tuesday, August 15, 2006

KAU KEKASIHKU

Dhira yang baru sahaja dilukai oleh seorang lelaki menyatakan bahawa dia tidak mahu bercinta lagi. Namun, hatinya kalah dengan kenyataannya itu apabila terpaut dengan Zairi ketika melancong ke Beijing. Sejak pertemuan yang membibitkan kenangan manis, hubungan Dhira dengan Zairi semakin mesra selepas pulang dari melancong. Namun, Dhira pasrah walaupun Zairi menunjukkan sikap prihatinnya dan cemburu, lelaki itu agak sukar menyatakan cinta kepadanya.

Akhirnya, lafaz cinta keluar dari bibir Zairi dan ingin melamar Dhira menjadi suri dalam hidupnya. Namun, ada sesuatu yang menjadi persoalan dalam diri Dhira, apabila dia tidak pernah disentuh oleh suaminya sendiri selama di alam perkahwinan.

Apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Zairi? Mengapa dia tidak mahu menyentuh Dhira sedangkan tanggungjawab lain ditunaikan? Adakah kerana Dhira yang menjadi puncanya? Akhirnya, Dhira dapat menemui jawapannya yang sering membelenggu dirinya. Antara kasihan dan kasih, perlukah Dhira mengharunginya bersama suami tercinta?


*************************
Koleksi adik aku.. entah aku tak ingat jalan ceritanya sebab aku baca tak habis.. tak menghayati langsung ceritanya...

Tuesday, August 8, 2006

MAHAR ASMARA


Arwani jatuh hati pada Harris Hakimi, jejaka yang dikenalinya menerusi e-mel. Namun dia hanya membiarkan perasaan itu terpendam di lubuk hati kerana takut dikecewakan. Pada masa yang sama dia juga mula berasa sayang terhadap Johan Ariff, jejaka yang dikenalinya semasa mengikuti skim graduan menganggur. Namun hatinya tetap pada Harris Hakimi, cuma Arwani tidak berani meluahkan perasaannya pada Harris Hakimi seperti dia meluahkannya pada Johan Arif. Arwani keliru dengan perasaannya sendiri.

Namun perhubungannya dengan Johan Arif tidak berpanjangan kerana Najwa, sahabatnya yang gemar menjaja hubungan Johan Arif dengan ramai wanita. Tambahan pula Johan Arif sendiri cuba memperkenalkan Arwani kepada penyelianya iaitu Dr. Rezman. Perbuatan Johan Arif telah menimbulkan kemarahan Arwani. Lelaki itu seolah-olah cuba memperdagangkan kasih sayangnya. Haris Hakimi pula semakin menjauhkan diri darinya. Arwani bingung dalam mencari cinta. Kedua jejaka itu terlalu istimewa padanya.

Antara kedua lelaki itu, siapakah pemilik sebenar hatinya.

Saturday, July 15, 2006

GELORA JIWA


Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar menjadi benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi, kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata!

Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan. Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga.

Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?

Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?

Nie pun best.. Happy ending.. penuh dengan tandatanya..

Monday, June 12, 2006

DEMI KASIH INI

Sinopsis : Bijak pandai pernah berkata, cinta boleh bertukar menjadi benci tetapi persahabatan itu akan kekal buat selama-lamanya.Benarkah?

Sekian lama menyemai kasih, keakraban Iriana dan Mukhriz dimeterai dengan ikatan. Andai diibaratkan tinggi bintang di langit, tinggi lagi impian di hati. Sungguh, cinta mereka bukan sandiwara. Tiada apa yang bisa menjadi galang ganti.

Tetapi entah di mana silap, bahtera kasih mula dilanda badai. Satu demi satu rahsia terbongkar. Ribut melanda, taufan bergelora. Tembelang pecah, retak menanti belah. Konfik demi konflik mencabar keimanan. Tambah rumit, lantaran seorang pemarah, seorang perasa.

Saat itu, dunia Iriana bagaikan mahu runtuh, langit menjadi gelap dan bumi bagaikan mahu retak. Sekian lama bersabar, akhirnya dia nekad. Nekad untuk mengembalikan harga dirinya di atas nama sebuah kesetiaan. Mungkin salahnya juga selama ini, terlalu lurus bendul. Terlalu alpa, hinggakan kepercayaannya dikhianati dan akhirnya dia terluka sendiri.

Begitu pun, atas nama kasih... sengketa ini bukan penamat kisah. Sebaliknya, gelora cinta baru saja bermula. Dan di saat inilah terdetik di hati Iriana, pesanan orang tua wajar dipertimbangkan. Sebelum mengangguk sudi menerima lelaki, sematkan di hati bahawa percintaan itu ibarat percaturan, terlalu banyak rintangan yang tidak disangka akan terjadi!


******************************

Sedih novel nie.. kisah komplik rumahtangga.. bagi sesiapa yang pernah mengalaminya pasti menitis air mata kalu membacanya...


Wednesday, May 31, 2006

TAK SEMANIS IMPIAN


NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”

NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”

RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”

Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.

Monday, April 3, 2006

SEPI TANPA CINTA


Sinopsis : SEPI TANPA CINTA
HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

Novel nie aku tak beli... rasanya pinjam gan anak buah aku.. best memang best... jalan citer dia tak bosan.. bleh menangis rasanya.. aku ingat nanti nak beli gak wat koleksi..

Sunday, April 2, 2006

TAK SEINDAH MIMPI


Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.

Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.

Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?

Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.

Thursday, March 30, 2006

BISIKAN RINDU


Sinopsis : BISIKAN RINDU Antara Shahrul dan Ikhwan kedua-duanya sama kacak, sama baik. Tapi jika di hati tiada rasa cinta, salah seorang harus berkorban. Jika mulut berkata sayang sedangkan hati berkata tidak, untuk apa sebuah percintaan?

Sekuat manapun cinta Shahrul kepada Dina, hatinya tetap milik Ikhwan. Kehadiran Ikhwan telah mengajar Dina erti sebuah rindu. Namun percintaan mereka sering diuji dengan salah faham dan kebetulan.

Akhirnya, Dina mengalah. Perginya bukan kerana kalah, tetapi pergi mencari harga diri yang dicampak oleh lelaki yang amat dicintai. Kerana cinta itu Dina sanggup tinggalkan Ikhwan dan segalanya.

Setelah agak lama menyepi, Dina nekad ingin kembali. Sayangnya kepulangan Dina dalam keadaan yang tidak terduga! Tiada kata maaf, tiada pelukan mesra. Yang ada hanya tangisan... Gembira atau duka?

Wednesday, March 15, 2006

SEINDAH MEMORI


Sinopsis : SEINDAH MEMORI Kalau benarlah cinta itu lahir dari hati yang suci dan rela berkorban deminya, mengapa tidak ke jinjang pelamin pengakhirannya? Kalau benarlah cinta itu dari jiwa yang ikhlas, kenapa ada yang ternoda kerananya? Itulah lumrah cinta manusia. Dicintai dan mencintai tidak pernah padam walaupun sering dipersendakan oleh kerenah manusia. Begitulah kehidupan Dayang yang penuh dengan kemelut cinta. Kali pertama dalam hidup, dia menghadapi dugaan cinta yang sungguh mencabar. Nak ditelan seperti pahit, nak dibuang tak sampai hati. Ungkapan Aku cinta padamu mengajarnya erti reda dan pasrah. Dugaan dan ragam takdir sentiasa bergerak seiring dengan lafaz janjinya. Akhirnya, memporak-perandakan seluruh sendi kehidupannya. Cinta dua darjat antara Dayang dan Syed Iqbal menguji penantiannya. Namun kerana satu janji, biar datang ribut taufan sekalipun, cintanya tetap dipertahankan walau Iqbal terbang tinggi di langit dan dia hanya melata tumbuh di bumi. Sesungguhnya pertarungan merebut cinta Iqbal memerlukan ketakwaan dan ketabahan sebagai syarat! Kerenah takdir juga menyaksikan dirinya terlibat dalam cinta tiga penjuru. Cinta yang memusnahkan tiga kasih, tiga perasaan dan tiga hati. Kesemuanya menuntut pengorbanan dan air mata. Seorang harus melupakan dan seorang lagi harus dilupakan untuk memberi ruang pada orang ketiga. Siapa antara mereka yang ketawa gembira dan siapa pula yang akan merintih hiba?

Saturday, March 4, 2006

SAYANG TAK TERUCAP


TAKDIR menemukan semula Delilah dan Aminudin setelah sekian lama terpisah. Dengan rasa sedih, kecewa dan rajuk berpanjangan, Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terguris, lukanya berparut lama. Apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggungjawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu, nenek dan datuknya yang buta.

Sekaya mana pun lelaki itu, masih tidak membuka pintu hatinya. Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya. Datuknya yang buta, tapi tidak buta hatinya. Datuknya yang buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya.

Pun begitu, mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fikiran jika tidak digunakan sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan, menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Malah, jauh di sudut hati dia ingin sekali menikmati dakapan kasih seorang ayah dalam hidupnya.

Ayah... andai kemaafan ini kuberi, namun dapatkah kuberikan setulus kasihku padamu? Ya ALLAH... perkenankanlah doa hamba-MU ini agar kebuntuan dan kekeliruan ini dapat dileraikan.


Best.. sedih gak ceritanya..

Thursday, March 2, 2006

Takkan Melupakanmu


oh terindah, lagu yg terindah
sengaja aku cipta untukmu yg terindah
semoga dapat meluluhkan segala keraguan
semoga menghancurkan kerasnya batu prasangka

reff:

aku takkan melupakanmu
takkan meninggalkanmu
takkan menduakan cintamu, ku bersumpah

aku tak ingin mengingkar janji

tak ingin menjadi duri
tak ingin menjadi api cinta yg membara
rebahlah kau di pelukku
lepaskan resahmu
bebaskan jiwamu
dari prasangka-prasangka burukmu
dari kerasnya batu curiga
repeat reff
senyuman melati
sambutlah mentari
raihlah cintamu
hari ini

I love you like I love a day
when everything goes right
I love you like I love to lay
and watch the stars at night
I love you like I love the rain
its lustful calm embrace
I love you like I love to laugh
until it hurts my face
I love you like I love to drive
with no real destination
I love you like I love the thrill
of pure infatuation
But most of all I love you like
I love a cherished friend
Who holds me tight, dries my tears
and loves me to the end

LAFAZKAN CINTAMU

Mengenali lelaki itu adalah detik-detik terindah dalam hidup Erina. Dalam diam dia menyedari hatinya mula berubah rasa. Cinta pandang pertama itu makin mekar hari demi hari. Namun, di saat dia mula mencium wanginya bunga cinta, di saat itulah dia tahu bahawa lelaki itu telah dimiliki. Sewajarnya... dia tidak akan memburu cinta yang tak pasti!

Lantas, Erina terus memendam rasa, membiarkan cinta yang tak terucap itu tersimpan di lubuk hati. Meskipun di mata lelaki itu telah terpancar selautan cinta, telah terbayang mahligai bahagia, namun dia nekad. Cinta tak semestinya bersatu! Cukuplah sekadar memiliki hati lelaki itu, bukan tubuh badannya. Dia cuba membuang jauh segala rasa yang pernah membuatnya bahagia.

Aduhai perempuan... sampai bila mesti memendam rasa, sedangkan jiwa terus merana? Dengar dan lihatlah dengan mata hati serta akal fikiran, apakah terlalu payah untuk menuturkan kalimah suci itu? Mencintai dan dicintai bukan satu dosa, malah ia adalah satu fitrah, anugerah ILAHI untuk setiap insan. Lantaran itu, lafazkanlah cintamu, usah dibiarkan hati terus terluka...

********************
Novel nie aku rasa ok la.. tak bosan bila membacanya..

Wednesday, March 1, 2006

I Love You


Just three little words
don't seem like enough
for someone whose smile
still brightens my day,
whose touch can make me forget
the rest of the world.

They don't seem like enough
for someone who's always been there
to celebrate with me
when everything goes my way
and to hold my hand
when my whole world
seems to fall apart.

But even though "I Love You"
can't express the depth
of my feelings for you.
I hope you know what's in my heart.
Because loving you
means more to me
than anything in the world
and it always will.

Tuesday, February 7, 2006

Tiada Lagi Mimpi


Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sugguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.

Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.

Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?

Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...

BADAI DI HATI


Sinopsis Badai Di Hati

Natilly... seindah nama yang bisa melenakan lelaki. Namun, perjalanan hidupnya tidak seindah yang diimpikan. Jiwanya teruji dengan pelbagai dugaan. Walau sakit, walau perit, namun hidup mesti diteruskan selagi belum tiba detik azali. Dia nekad, dia mesti bangun menongkah badai kehidupan. Dia tidak mahu menjadi insan lemah yang mudah menyerah kalah.

Nasrul, lelaki yang cukup segalanya. Pengasih dan penyayang. Tetapi lelaki itu karam dalam mengejar kemewahan. Walau tujuannya ingin membahagiakan Natilly, namun sayang... jalan yang dipilih tidak menghalalkan niat. Sebagai lelaki, dia terhebat. Tetapi sebagai insan, dia menjadi manusia sesat.

Dan kerana lelaki inilah, Natilly nekad. Tidak rela dia membiarkan dirinya diperkotak-katikkan lagi. Tidak tegar dia memaut hidup dengan hanya bergalangkan cinta dan kepercayaan. Dia pernah merana kerana itu. Dia pernah terseksa kerana itu. Tetapi tidak untuk kedua kali. Dia mesti menghapuskan setiap titis air mata duka yang selama ini melemaskan sisa-sisa semangatnya.


Sesungguhnya, segala kenangan pahit itu cukup menguji hatinya. Dia mesti mengubah paragdima hidup dengan berpaksikan pengalaman pahit semalam. Dan dia ingin membuktikan... selembut jiwa wanitanya juga mampu teguh kembali meskipun pernah derita dihempas gelombang dunia.


Wednesday, February 1, 2006

CINTAMU DIHATI


Sinopsis : CINTAMU DI HATI
Kata orang... kita boleh jatuh cinta dalam sekelip mata tapi untuk melupakannya hampir sepanjang hayat. Sememangnya, cinta pertama terlalu sukar dilupakan. Meskipun tidak berakhir dengan satu ikatan suci, namun kenangan itu tetap utuh di hati, terpahat teguh di sanubari.

Seri terperangkap antara dua perasaan; cinta suci seorang lelaki dan cinta sejati kekasih lama. Keteguhan hatinya terduga apabila Zulfy semakin dekat padanya. Setiap waktu bersama Zulfy meletakkannya dalam kemelut perasaan. Kenangan cinta pertama mereka kembali memburu hingga mengundang cemburu Azlan. Dalam melawan arus asmara terlarang, kesetiaan Seri terus-terusan diragui.

Takdir ALLAH tiada siapa dapat menghalang, ujian datang tiada siapa dapat menduga. Seri terus tabah menghadapi segala rintangan dalam mencari bahagia yang hilang. Jalan yang dilalui tetap berliku. Bahagia yang dicari ibarat fatamorgana. Ada waktunya dia hampir mengaku kalah dengan takdir. Ada saatnya dia hampir tersungkur dalam mencari sejalur sinar.

Hari berlalu... dan dalam pencarian itu, hatinya sering berkata, milik siapakah cinta ini? Masih adakah cinta kedua buatnya